Thursday, April 29, 2010

Tonggakan Kedua Rukun Negara Perlu Disuburkan..

KEBELAKANGAN ini timbul berbagai tindakan yang dilihat seperti langsung tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. Ada antara tindakan itu bukan sahaja dianggap tidak menghormati undang-undang, malah ada yang sanggup mencemarkan institusi raja melalui perbuatan, misalnya mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak atau melalui persidangan Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami bahawa Raja-Raja Melayu adalah simbol dan keagungan serta kedaulatan negara ini.

Jika dilihat kembali semasa proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan semua pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor supaya memastikan masjid tidak digunakan sebagai gelanggang politik.

Tetapi yang terjadi sebaliknya pula. Pihak pembangkang mengambil sikap tidak endah titah Sultan Selangor. Menurut laporan akhbar-akhbar utama, Menteri Besar Kelantan yang turut berkempen di Hulu Selangor mengatakan larangan menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik sebagai karut dan ia adalah hasil peninggalan penjajah. Selanjutnya beliau dilaporkan sebagai berkata politik boleh disebut atau dibincang di mana-mana. Azan yang dilaungkan bilal adalah suatu politik kerana memanggil orang ramai mengerjakan solat di masjid. Selanjutnya beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengasingkan antara agama dan politik.

Jika diteliti, titah Sultan Selangor ada baiknya. Larangan berpolitik di masjid dan surau dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak masalah (keburukan) dan kemudaratan berbanding dengan kebaikan terhadap masyarakat. Ini kerana pada masa kini, masyarakat Melayu Islam bukan sahaja berpecah belah, malah sanggup berpuak-puak hanya disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Tentu kita masih belum lupa, suatu ketika dahulu terdapat isu-isu yang merendahkan martabat Islam seperti sembahyang dua imam dan isu kafir-mengkafir.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju masjid digunakan sebagai lokasi untuk kempen politik. Selanjutnya beliau berkata, sekiranya kempen politik atau untuk apa sahaja aktiviti parti dibenarkan, ia akan menimbulkan masalah dan perpecahan akan lebih teruk berlaku dalam masyarakat.

Terkini berlaku pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila dua soalan bertulis yang dikemukakan oleh seorang ahli DUN dari Pas yang bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Sepatutnya, soalan-soalan yang berkaitan dengan institusi Raja-Raja Melayu yang menyentuh mana-mana Sultan atau Raja Melayu yang boleh mendatangkan satu polemik pada masa depan dihindarkan daripada dibincangkan di dalam sidang DUN. Pemimpin-pemimpin politik tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu seharusnya menjadi benteng dan pembela merangkap 'hulu balang" yang mempertahankan kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Rakyat negara ini pada semua peringkat umur dan bangsa sewajarnya tidak lupa dan maklum dengan tonggak kedua Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'. Hari ini, rakyat dilihat seolah-olah sudah lupa kepada Rukun Negara.

Usaha-usaha menyemai maksud yang tersirat pada setiap tonggak Rukun Negara harus dibuat dengan kadar segera melalui kempen-kempen di media cetak dan media elektronik supaya setiap rakyat di negara ini dapat menjiwai dan mendalaminya.

Setiap tonggak Rukun Negara yang diamalkan sejak dahulu telah berjaya menjamin kestabilan negara dan keharmonian hubungan kaum. Jangan ada lagi pihak yang cuba mempertikaikan, malah menghina prinsip yang telah diterima dan telah termaktub itu.

NADZIR AWANG AHMAD
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara Perlis

Thursday, April 22, 2010

RusAk pENgERinDu.....

hemm...lama dah tak melawat blog sulusigat ni. Setakat ni takde apa - apa yang menarik la. Cuma di sini nak layan lagu Rusak pengerindu by Lydia Ricky.. Suka senikata & melodi lagu ni...layannnnn

Tuesday, April 13, 2010

Pengertian Undang - Undang....

Undang-undang diadakan untuk faedah masyarakat. Dengan perkataan lain, adanya undang-undang dapat menjamin ketertiban masyarakat; ia bererti orang dapat hidup dengan lebih bahagia. Tujuan utama undang-undang bukan untuk menghukum walaupun biasanya bila orang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum.

Dalam masyarakat moden sekarang, undang-undang mempunyai pengertian yang semakin kompleks kerana fahaman undangundang memang tidak statik.

Undang-undang di Malaysia sekarang ini berdasarkan undang-undang British yang buat kali pertama dikuatkuasakan waktu pihak British menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudian dengan beransur-ansur sistem itu diperkenalkan Semenanjung Tanah Melayu, di antara tahun 1874 bila Perjanjian Pangkor ditandatangani di Perak dengan tahun 1919 bila kerajaan Terengganu menerima seorang Penasihat British. Terengganu memang kerajaan yang terakhir di Semenanjung Tanah Melayu yang terpaksa membenarkan pihak British campur tangan dalam sistem pentadbirannya.

Perlu dijelaskan di sini bahawa sehingga Perang Dunia Kedua, pihak Britain tidak menjajah kerajaan Melayu; ia hanya menjajah Negeri-negeri Selat yang sejak 1867 secara rasmi disebutkan sebagai 'Tanah Jajahan Mahkota British' pada hal kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu (jumlahnya sembilan sejak 1895) mempunyai status 'Negeri-negeri Melayu Naungan'. Orang yang menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat menjadi Pesuruhjaya Tinggi British kepada Negeri-negeri Melayu Naungan.

Sistem pentadbiran dan pemerintahan British memang berbeza dengan apa yang sudah lama wujud di kerajaan-kerajaan Melayu tradisional. Sistem British mengutamakan 'kedaulatan undang-undang (bertulis)'. Menurut tradisi di Barat secara umum, sistem pentadbiran terbahagi kepada tiga bahagian: (1) yang meluluskan undang-undang (Perundangan), (2) yang melaksanakan undang-undang (Eksekutif) dan, (3) yang mentafsirkan undang-undang (Kehakiman). Itu disifatkan sebagai 'pengasingan kuasa' - peranan ketiga-tiga tidak sepatutnya bertindih.

Menurut sistem itu juga, bila seseorang individu ditahan dan dituduh melanggar undang-undang misalnya oleh pihak polis, dia belum lagi boleh dikatakan bersalah atau tidak bersalah. Itu juga bererti yang dituduh semestinya diberi peluang untuk mempertahankan diri, biasanya melalui seorang peguam. Seterusnya, kalau dia didapati bersalah oleh mahkamah rendah, dia berhak merayu kepada mahkmah yang lebih tinggi.

Dalam setiap masyarakat yang berpegang kepada konsep 'kedaulatan undang-undang', prosedur untuk melakukan sesuatu mengikut undang-undang sememangnya dinyatakan dan pihak eksekutif tidak boleh mengambil tindakan dengan sewenang-wenang kerana ia jug perlu patuh kepada undang-undang.

Konsep 'kedaulatan undang-undang' tidak selalunya jelas kepada orang ramai di Malaysia, terutamanya mereka yang kurang terdedah kepada masyarakat Barat. Dalam sistem pendidikan, ia tidak diberi keutamaan. Oleh yang demikian prosedur amatlah penting untuk menjamin supaya pelaksanaan undang-undang atau pun peraturan akan berjalan dengan licin dan saksama kerana hanya dengan wujudnya keadaan seperti itu barulah huru-hara dapat dielakkan. Keadaan di mana setiap orang mempunyai kuasa yang tersendiri dan tiada orang yang terpaksa patuh kepada pihak yang tertentu sudah pasti akan menimbulkan keadaan kucar-kacir dan akibatnya kepentingan dan kebahagian setiap orang dalam masyarakat akan terjejas.

Perlu ditegaskan juga, konsep 'kedaulatan undang-undang' bukan bererti pihak yang menguatkuasakan atau mentafsirkan undang-undang tidak perlu menggunakan budi bicara. Manusia bukan jentera sama ada dia seorang polis atau pun hakim. Walaupun kelonggaran yang ada padanya berbeza-beza - ia bergantung kepada keadaan - sebagai manusia yang mempunyai akal, seseorang itu seharusnya sentiasa menimbangkan tindakan yang akan diambilnya dengan teliti dan seboleh-bolehnya tanpa emosi.

Undang-undang wujud untuk faedah orang ramai. Tetapi ada kalanya undang-undang yang wujud boleh mengganggu orang ramai. Polis yang bersembunyi untuk memerangkap pemandu kereta dengan tidak membezakan di antara mereka yang membuat kesilapan tidak sengaja dengan mereka yang memandu dengan cara yang bukan hanya berbahaya tetapi tidak bersopan adalah pegawai yang tidak mengutamakan keselesaan majoriti pemandu terutamanya polis yang menegaskan bahawa mereka "hanya menjalankan arahan".

Polis yang menurut arahan pun sepatutnya berfikir sama ada tindakannya akan menolong atau mengganggu orang ramai. Dalam keadaan tertentu mungkin amaran sudah memadai. Bukan semua orang yang melanggar undang-undang adalah penjenayah. Kadang-kadang mereka hanya cuai; kadang-kadang mereka memang kurang jelas tentang undang-undang walaupun secara umum, kejahilan tentang undang-undang tidak dapat diterima sebagai alasan. Tetapi di Malaysia memang ramai tidak diberi pendidikan yang cukup sempurna di sekolah.

Tidak dapat dinafikan tugas seorang polis sangatlah berat. Bagaimana pun ia seharusnya meyakinkan orang ramai bukan mengugut mereka. Maksudnya polis perlu sentiasa memberi penjelasan tentang undang-undang dengan cara yang rasional, bukan hanya dengan memberi jawapan: "Saya menurut perintah." Kalau polis sendiri kurang jelas tentang kebijaksanaan undang-undang yang perlu dikuatkuasakan, tindakan yang diambilnya sudah tentu tidak membawa makna kepadanya sendirinya apa lagi kepada orang yang kononnya sudah melanggar undang-undang.

Orang Timur telah banyak meminjam institusi Barat tetapi fahaman orang Timur di peringkat akar umbi perihal institusi-institusi itu tidaklah mendalam kerana tidak ramai orang Timur yang terdedah kepada budaya Barat. Tambahan pula, institusi-institusi sosial Barat, begitu juga undang-undang Barat, sudah banyak mengalami perubahan sejak satu atau dua abad kebelakangan ini. Misalnya, di England sendiri, suatu undang-undang yang telah dipinda untuk menyesuaikannya dengan perubahan persepsi masyarakat ialah hukuman terhdap pencurian.

Lebih kurang 150 tahun dahulu, sesiapa yang mencuri di England akan digantung sampai mati. Sekarang mencuri boleh menjadi jenayah yang agak ringan. Mereka yang mencuri untuk memberi makanan kepada kanak-kanaknya yang menghadapi kebuluran tidak mungkin akan dihukum oleh mahkamah.

Ternyata niat sangat penting. Seseorang yang melanggar undang-undang tanpa niat yang jahat mungkin akan diampun tetapi sesiapa yang melanggar undang-undang dengan niat untuk menguntungkan diri sendiri, di samping itu membawa kesedihan kepada orang lain pasti dihukum. Tetapi individu tidak dibenarkan bertindak sendiri untuk menghukum seseorang penjenayah. Seseorang itu boleh membunuh kalau nyawanya dalam keadaan bahaya apabila dia diserang oleh seorang perompak.

Undang-undang yang dikuatkuasakan tanpa budi bicara boleh dianggap kejam kerana ia lebih menganiaya daripada memberi manfaat kerana biasanya undang-undang diluluskan berasaskan andaian bahawa ia akan menolong mewujudkan ketertiban dan keselamatan dalam masyarakat. Tetapi sejauh mana ia berkesan bergantung kepada mereka yang menguakuasakan dan mentafsirkan undang-undang.

Akhir-akhir ini Malaysia juga telah mengambil berat tentang hak asasi kemanusiaan sehingga telah ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) lebih kurang 10 tahun dahulu. Tetapi kewibawaan yang diserahkan kepada Suhakam adalah terbatas. Tugas utamanya adalah untuk memantau dan membuat laporan bukan untuk bertindak.

Masyarakat umum di Malaysia tidak dididik agar mereka benar-benar faham bahawa, walau pun setiap orang dikatakan mempunyai hak asasi kemanusiaan, itu bukan bererti mereka boleh bertindak dengan sesuka hati. Pelaksanaan hak perlu disertai dengan tanggungjawab. Kerana manusia hidup dalam masyarakat, tindakan setiap orang boleh memberi kesan kepada orang lain maka dengan melaksanakan hak diri sendiri, seseorang individu seharusnya sentiasa menjamin agar dia tidak melanggar hak asasi orang lain.

Suatu kemusykilan lagi yang mulai timbul sekarang ialah kuasa yang dipegang oleh pihak eksekutif. Kadang kala ia terkeluar daripada tugas yang dihadkan kepada mereka, iaitu mereka bukan hanya menjalankan tugas sesudah bahagian perundangan meluluskan undang-undang yang berkenaan malah kadang-kadang mereka juga menentukan hukuman dan bukan badan kehakiman.

Masyarakat Malaysia memang perlu dididik dengan lebih sempurna terutama sekali golongan muda. Kerana generasi ibu bapa sekarang bukanlah mereka yang telah diberi pendidikan yang lebih bulat maka sikap mereka tentang anak-anak sendiri bukan terpengaruh oleh keprihatian kepada masyarakat dan negara tetapi oleh agenda peribadi. Maksudnya pengorbanan untuk faedah masyarakat tidak dititikberatkan sama ada di rumah atau di sekolah. Kerana itu penguatkuasaan undang-undang pun dari semasa ke semasa menjadi masalah kerana keadilan tidak kelihatan jelas bila tindakan diambil oleh sama ada badan eksekutif atau kehakiman.

Apa yang ternyata tidak diutamakan oleh mereka yang menjalankan tugas sama ada di sektor awam atau swasta ialah integriti. Undang-undang yang bagaimana sempurna pun tidak akan membawa kebahagian kepada masyarakat kalau mereka yang diberi tanggungjawab menguatkuasakannya tidak menjalankan tugas dengan penuh kesedaran bahawa tindakan mereka dalam jangka masa panjang akan menstabilkan atau menghapuskan masyarakat.

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Monday, April 12, 2010

HamBA di RumaH sEdiRi....

Cerita kali ini bukan mengenai bercinta dengan isteri orang atau sebaliknya tetapi keluhan seorang ibu tentang nasib yang dikatakannya tidak sebaik nasib ibu-ibu lain. Ada kaum wanita menempuh kepayahan hidup di awal remaja dan berubah lebih baik setelah bekerja dan berumah tangga. Ada pula yang susah ketika awal perkahwinan dan bahagia akhirnya setelah anak semakin besar. Ada juga susah di penghujung hayat. Inilah yang menyedihkan.
''Nasib saya tidak seperti ibu-ibu di atas, boleh dikatakan hidup saya susah, tertekan jiwa, hati dan perasaan sejak saya remaja hinggalahsetelah bercucu sekarang. ''Mungkin saya salah seorang ibu malang di dunia ini, namun saya taklah kesal. Ini kehendak Allah, saya reda tetapi saya kesal sikap anak menantu yang membuatkan hati saya hancur seperti kaca terhempas ke batu,'' demikian cerita Puan Hamizah dalam surat pendek yang dihantarkannya dan ketika kami berbual petang Isnin lalu.
Sebenarnya sudah beberapa kali kami berbual, tetapi terputus-putus, kerana gangguan cucu menangis dan beliau takut bercakap terlalu lama ditelefon bimbang anak menantu tidak dapat menghubunginya kerana telefon sedang digunakan.. Jadi kami berbual kira-kira enam minit setiap panggilan. Hinggalah saya faham perasaan hatinya yang terluka selama ini.
''Dah lama sangat saya nak luahkan isi hati saya ini, tetapi tak ada orang yang boleh saya percayai, lagipun kehidupan saya yang terkurung tidak mengizinkan saya berjumpa dengan ramai orang. Nak cakap dengan jiran takut anak terasa malu. Jadi saya simpan semuanya dalam hati.
''Tetapi apa pun kesimpulan masalah saya ini semuanya berpunca kerana kemiskinan dan kesusahan hidup saya. Kalau hidup kita miskin, anak menantu pun tak suka, malah menganggap kita menyusahkan hidup mereka sahaja. Itulah nasib saya.
''Saya ibu tunggal, diceraikan kerana suami nak kahwin lagi, bakal isteri barunya tak mahu bermadu, jadi tinggallah saya bersama empat orang anak yang masih sekolah rendah dan dua menengah. ''Kerana anak pertama dan kedua perempuan agak pandai sikit dapatlah dia belajar ke sekolah menengah sains berasrama. Walaupun duduk asrama saya terpaksa hantar duit sebab belanja mereka agak tinggi, macam-macam nak dibeli. ''Saya bekerja keras untuk mencukupkan belanja mereka di samping dua lagi yang bersekolah rendah. Ayah mereka setelah menceraikan saya, nafkah anak-anak tak diberi. Nak jenguk anak pun takut isteri baru marah. "Puas saya pergi pejabat dan turun naik mahkamah syariah tapi gagal dapatkan nafkah. Buat habis duit tambang, terpaksa cuti. Akhirnya saya buat keputusan biarlah dia berseronok dengan kehidupan barunya dan jawablah di akhirat nanti."
''Ketika bercerai saya tak ada rumah, menyewa rumah kecil di kawasan dekat KL memang mudah pergi kerja, tapi sewa rumah tinggi. Selain bekerja, saya jual kain potong yang orang hantar minta saya jualkan, paling tidak, dapat juga anak-anak berganti pakaian yang mereka berikan. Biarpun terpakai tetapi masih baru senanglah berpakaian. Kalau besar saya kecilkan."
''Dengan izin Allah anak yang tua sambung belajar buat diploma dua tahun kemudian, yang kedua pula ikut sama. Harapan saya bila mereka bekerja nanti senanglah sikit hidup saya. Sayangnya saya cuma berharap, Allah yang menentukan.
''Tak sampai enam bulan bekerja dia nak kahwin. Tersentak juga rasa hati, cepat sangat anak saya laku. Walaupun saya minta dia tangguhkan dulu, sebab tak berduit buat kenduri, tetapi yang lelaki mendesak. Anak saya Izah terpaksa ikut. ''Kenduri kami ala kadar. Kata Izah, bakal suaminya tak suka buat majlis panggil ramai orang, membazir aja. Saya ikutkan memang pun saya tak berduit lagipun hantarannya tak tinggi cukup buat kenduri saja. Selesai majlis cuma dua malam menantu saya tidur di rumah, mereka terus pindah rumah lain.
''Dua hari lepas pindah, ketika saya sibuk mengira hutang belum selesai, Izah datang ke rumah bersama suaminya, bertanyakan mana set bilik pengantin sebab dia nak bawa ke rumah mereka. Izah tahu saya cuma beli katil dan tilam, almari pakaian dan almari solek pakai yang lama lagipun rumah sewa kami kecil, mana nak muat. Tetapi sebenarnya saya tak mampu nak beli semua benda itu. ''Kerana tak ada set tersebut menantu saya minta beli yang baru. Hutang lagi. Izah tak berani bantah walaupun dia tahu saya tak berduit. Hutang lama tak selesai hutang baru bertambah. Namun dalam hati kecil saya mengharapkan kalau Izah bagi saya RM100 setiap bulan seperti sebelum dia kahwin, mungkin hutang itu boleh saya selesaikan. Tetapi sejak Izah kahwin dia tak beri saya duit langsung. ''Waktu itu memang saya susah, mana nak bayar hutang, tiga orang anak lagi tengah belajar, seorang peringkat akhir pengajiannya, sementara seorang lagi nak ambil SPM, tetapi pada siapa saya nak mengadu, saudara-mara bukan orang kaya, mereka pun duduk kampung harapkan anak-anak. Namun mereka masih bernasib baik daripada saya kerana ada anak-anak yang menolong. Berbanding saya.
''Kerana terdesak saya minta Izah bantu bayarkan duit periksa adiknya, tetapi kata Izah, dia tak ada duit, semua duit gajinya suaminyapegang. Kata Izah, suaminya kata, lepas kahwin dia mesti ikut perintah suami bukan emak lagi, syurga bawah tapak kaki suami. Lagipun dia nak simpan duit beli kereta baru dan rumah. ''Hendak tak nak saya terpaksa tebalkan muka pinjam pada kawan sekerja RM100 janji bayar dua bulan. Ketika Imah habis belajar saya menyimpan hajat mungkin bila dia kerja nanti dia boleh membantu saya. Imah pula lambat dapat kerja, dia terpaksa kerja sementara di kilang, memang dia ada bantu saya cuma beberapa bulan sebelum dapat kerja yang memaksanya pindah duduk nun di selatan. ''Hati saya suka dalam duka. Gembira anak dapat kerja tapi sedih dia terpaksa tinggalkan saya. Di tempat baru dia terpaksa sewa rumah,untuk tiga bulan pertama, memang dia tak kirimkan saya duit. Sebaliknya saya meminjam bagi dia bekalan sedikit duit semasa pindah. Sekali lagi kawan jadi mangsa. Tapi saya bayar balik semuanya walaupun berdikit-dikit. ''Anak kedua pun cepat jodoh, tak sampai setahun bekerja dia kahwin orang sana . Saya buat kenduri kecil, nak panggil ramai orang kita perlu belanja besar. Asalkan mereka selamat kahwin sudah cukup. Ayah mereka datang untuk izinkan nikah. Tak ada satu sen pun dia keluarkan duit belanja. ''Kalau orang lain gembira anak perempuan mereka cepat kahwin tapi orang susah macam saya cuma tangis mengiringi mereka. Sedih dan takut apakah Imah juga ikut jejak kakaknya serahkan semua duit gajinya kepada suami. Kalau saya orang senang memang saya tak harap duit mereka, tetapi susah, merekalah harapan saya. ''Dua orang anak lelaki saya Ismail dan Ishak faham masalah saya. Ismail tolak tawaran buat diploma walaupun dia layak, dia bekerja di kilang, katanya nak tolong saya dan adiknya habiskan belajar sampai tingkatan lima.
''Saya menangis mengenangkan pengorbanannya, namun saya terus memujuk supaya dia terus belajar, biarlah saya susah bekerja dan berhutang, asalkan masa depannya terjamin, tetapi dia menolak, dia terus kerja kilang. Katanya, dia akan sambung belajar kalau ada rezeki. Tapi sampai kini dia masih kerja kilang dengan pendapatan cukup makan saja. Anak keempat saya pun berakhir dengan kerja kilang. ''Saya cukup sedih, tetapi apakan daya saya tidak ada kemampuan untuk mendesak mereka terus belajar kerana saya pun tak berduit. Ayah mereka tak ambil peduli selepas dia dapat empat orang lagi anak dengan isteri baru dan masil kecil-kecil.
''Peristiwa itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu, kini badan saya semakin tua, sudah tak berdaya nak bekerja. Untuk menampung hidup, saya jaga anak orang yang dihantar ke rumah saya. Tetapi bila Izah tak ada pembantu, dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya. Sekarang dah lebih enam tahun. ''Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat 50 tahun, badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya memang kelihatan tua. ''Saya fikir bila dia ambil saya tinggal di rumahnya, dapatlah saya ke surau, buat amal ibadah dengan selesa, malangnya sembahyang tarawih pun jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak cucu.
''Bila sendirian saya selalu menangis mengenangkan nasib. Dari kecil anak saya besarkan, berhutang keliling pinggang untuk menyekolahkan mereka, tapi bila dah senang suami dia kutip hasil. Kalaulah anak saya menjaga saya, agaknya tak sampai umur saya 65 pasti saya dah mati. Cuma 15 tahun sahaja dia menjaga saya. ''Tetapi kalau dia ada umur dia akan hidup bersama suaminya lebih 42 tahun iaitu sejak 23 tahun umur dia mula bekerja hinggalah 65 tahun. Jadiapalah salahnya dia bantu hidup saya yang susah ini dan tolong anak- anaknya melanjutkan pelajaran. Memang tugas ibu membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka, dan tak boleh minta pembalasan, itu benar, tetapi saya bukan orang senang, saya susah. ''Apa yang menyedihkan saya ialah hidup dua orang anak lelaki saya sampai bila dia mesti bekerja jadi pekerja kilang. Bukan saya hina pekerja kilang, tetapi mereka pandai, mereka dapat tawaran sambung belajar ke IPTA apa salahnya kakak-kakak mereka menghulurkan bantuan kerana dia tahu saya susah dan ayahnya tak membantu dan tak pernah beri nafkah. Salahkah saya meminta bantuan? ''Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat saya macam hamba abdi? Kalau saya pembantu rumah orang lain tentu dapat imbuhan tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya tinggalkan semasa bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan empat orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya.
''Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana duduk menumpang di rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan tak berharta saya dibuat macam hamba. Nak berbual dengan anak pun terhad, menantu sentiasa mengawasi, apa lagi kalau nak berbual dengan jiran tetangga. ''Saya amat sedih terutama bila besan atau saudara-mara menantu saya datang ke rumah, saya tunggang-langgang di dapur memasak, mereka Cuma berbual dan menunggu hidangan terhidang, saya betul-betul terhina. Lagi sedih bila menantu bising fasal bil elektrik dan air meningkat. "Sabun pencuci cepat habis pun merunsingkan fikirannya. Menantu saya terlalu berkira fasal duit Entah bila penderitaan saya akan berakhir. Saya sentiasa berdoa supaya saya tidak terlantar sakit terlalu lama sebelum mati. Kerana saya tak tahu siapa nak jaga saya nanti,''
Apakah zaman ini masih ada anak-anak seperti ini, "kalau diri tak berduit bukan sahaja dihina orang, anak-anak sendiri pun benci dan tak hormatkan kita. Agaknya mereka terlalu hormatkan suami kerana syurga di bawah tapak kaki suami. Ibu tak berguna lagi."
"Tapi kata seorang teman, suami boleh berganti kalau jodoh dah tiada, tapi ibu itulah satu-satunya di dunia dan akhirat." Entahlah! Tapi sayangilah ibu semasa masih ada, kerana doa ibu membawa berkat.