Friday, April 19, 2013

Bahaya Kekurangan Tidur

E-mel: lotfianuar@yahoo.com
Pakar Perunding Klinikal Psikiatri, Hospital
Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.:
 
 
DEPRIVASI tidur atau kekurangan tidur boleh menjadi punca pelbagai masalah kesihatan. Ini termasuk mengurangkan keupayaan seseorang menangani stres dan ketahanan terhadap penyakit.
Seseorang yang bekerja di siang hari tanpa tidur secukupnya pada waktu malam tidak mampu berfikir atau fokus kepada tugasan dengan baik.
 
 
Mereka lambat memberi tindak-balas semasa menyelesaikan masalah. Emosi mereka juga tidak menentu dan mudah meradang.
 
Seorang pelajar kolej yang bekerja sambilan pada waktu malam misalnya akan mengalami masalah menumpukan perhatian kepada pembelajaran di dalam kelas.
Semasa peperiksaan, mereka mengalami kesukaran pula untuk mengingat kembali ilmu yang telah dipelajari.
 
Justeru, setiap orang perlu mengambil berat waktu dan jumlah jam tidur masing-masing. Bagi kebanyakan dewasa, tempoh tidur malam selama enam ke lapan jam sudah mencukupi untuk memulihkan tenaga dan mengganti sel-sel badan yang rosak.
 
Tempoh waktu tidur nyenyak pula perlulah serasi dengan jam biologi badan iaitu mesti merangkumi sekurang-kurangnya dari pukul 11 malam ke 2 pagi.
 
Keadaan ini berbeza bagi mereka yang terpaksa berjaga siang malam dan tidak mempunyai pilihan menentukan waktu tidur.
 
Contohnya, kepada anggota tentera yang berperang di perbatasan. Mereka terpaksa berjaga siang dan malam menyelesaikan tugasan operasi untuk tempoh waktu yang tidak menentu dan panjang. Deprivasi tidur boleh menghilangkan kewaspadaan dan mengundang bahana.
 
Begitu juga kepada ibu yang baru melahirkan anak. Kegembiraan menyambut kehadiran orang baru akan bertukar kepada kepenatan melampau selepas beberapa minggu.
 
Bayi perlu diberi susu setiap dua jam, ditukar lampin bila basah dan dipujuk bila menangis.
Dalam tempoh panjang, deprivasi tidur menjejaskan kewarasan dan mencetus pelbagai jenis penyakit mental terutamanya kepada mereka yang fragil atau lemah.
 
Bagi anggota tentera, mereka memang dilatih mengatasi situasi sebegini. Pelajar kolej, mahu tidak mahu sila dapatkan juga waktu tidur yang cukup supaya mereka dapat belajar dengan baik.
Bagi ibu-ibu pula, bagaimana sepatutnya mereka menghadapi masalah ini?
 
Mereka perlu mengekalkan kewarasan supaya dapat terus mengurus rumahtangga dan menjaga bayi dengan baik.
 
Tidur semasa bayi tidur
 
Mungkin ramai orang pernah mendengar nasihat ini. Walaupun agak janggal tetapi berbaloi mencubanya. Yang penting tidurkan bayi di tempat tidurnya sendiri. Ini mengelakkan bayi lemas akibat ditindih oleh anda semasa tidur. Walaupun untuk tempoh 20 minit, ia cukup untuk menyegarkan diri dan anda boleh menyambung semula tanggungjawab tersebut selepas itu.
 
Matikan telefon bimbit
 
Ibu yang baru melahirkan anak biasanya menerima banyak panggilan telefon daripada kawan dan keluarga bertanyakan soalan sama tentang diri atau bayi. Ini mengganggu masa yang ada untuk tidur. Elakkan menjawab panggilan tersebut kecuali kecemasan. Jika anda menggunakan perkhidmatan blackberry messenger (BBM), tinggalkan pesanan di profil peribadi yang mengatakan anda perlu tidur dan tidak mahu diganggu.
 
Elakkan gangguan
 
Gangguan seperti bunyi bising boleh mengganggu kualiti tidur. Jika anda tinggal di dalam hiruk-pikuk kebisingan kota, tidurlah dengan tingkap rumah ditutup. Senyapkan bunyi televisyen sekiranya anda perlu menonton televisyen bagi mendapatkan mood mengantuk. Ingatkan suami menutup televisyen tersebut selepas anda tidur supaya cahaya daripadanya tidak terus mengganggu.
 
Sindrom goncang bayi
 
Setiap orang mempunyai tahap kesabaran berbeza. “Shaken baby syndrome" atau sindrom goncang bayi boleh berlaku jika ibu bapa hilang kewarasan apabila terlalu penat akibat kekurangan tidur.
Ibu bapa menjadi terlalu marah dan melepaskan kemarahan tersebut kepada bayi tanpa sengaja.
Mereka tidak memukul tetapi akan menghempas bayi ke atas tilam atau menggoncangnya kuat sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan otak. Jika perasaan ini berlaku, jauhkan diri daripada bayi anda. Jangan rasa bersalah jika bayi tersebut menangis seorang diri selama beberapa minit.
Jangan malu meminta pertolongan ibu bapa, mertua atau rakan untuk tolong menjaga seketika. Anda dan suami juga boleh mengambil giliran tidur secara bergilir-gilir pada waktu malam. Yang penting, jangan sia-siakan waktu rehat jika berkesempatan.

No comments: