Thursday, July 22, 2010

Kakitangan Awam Perlu Faham Kepentingan Inovasi

ADA sebab kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kakitangan awam perlu faham kepentingan inovasi. Kenyataan beliau mendapat liputan utama akhbar-akhbar tempatan semalam. Beliau menegaskan bahawa sektor awam tidak boleh mempunyai Napoleon Kecil yang tidak memahami inovasi.

Dalam sejarah Perancis, Napoleon terkenal sebagai pakar strategi perang sehingga berjaya menakluk banyak negara. Namun, keegoan dan nafsu untuk menjadi 'orang besar' menyebabkan Perancis dan negara-negara yang ditakluknya musnah.

Mengekang ego dan nafsu segelintir kakitangan awam yang 'gila kuasa' sehingga gagal memahami kepentingan inovasi dalam sektor awam adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Ia tidak boleh dipandang ringan dan segala perlakuan ke arah itu perlu dibanteras sejak dari awal lagi agar tidak menjadi barah, apatah lagi jika ia melibatkan soal kepentingan rakyat. Orang yang 'gila kuasa' banyak menjadi penyebab keruntuhan kepercayaan, kecemerlangan dan kejayaan yang telah dicapai.

Dalam suasana politik dan ekonomi sekarang, tentulah setiap kakitangan awam di semua peringkat termasuk pembuat dasar perlu mahir dalam menguasai inovasi. Percayalah, tanpa inovasi tidak akan ada sesuatu yang baru dapat dicipta. Proses mencipta memerlukan kreativiti dan dengan itu, setiap individu dalam sektor awam perlu menjadi seorang yang berinovasi dalam menggerakkan setiap unit atau jabatan masing-masing.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa soal inovasi dibangkitkan sekarang? Jika kita menyelak lembaran Kamus Dewan, perkataan inovasi merujuk kepada sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain. Elemen penting yang dikaitkan dengan inovasi adalah kreativiti.

Justeru, memang tepat masanya Najib membangkitkan perkara itu sekarang kerana ia menunjukkan betapa seriusnya kerajaan mahu setiap rakyat meningkatkan kreativiti dalam membantu negara memacu ekonomi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi.
Kenapa ia penting? Ia kerana tanpa inovasi maka kaedah, cara dan amalan yang ada dalam sektor awam sekarang akan kekal tanpa sebarang kemajuan.
Tidak ada kemajuan bermakna tidak akan ada sesuatu yang baru untuk dicipta dan dibanggakan. Sedangkan reka cipta terbaru dalam apa sahaja bidang amat diperlukan bagi membantu negara mencapai status negara maju.

Misalnya kakitangan sektor awam di jabatan pertanian perlu sentiasa berfikir dan kreatif dalam melahirkan teknologi terbaru untuk memudahkan pekerjaan dalam sektor pertanian sekali gus mencipta sesuatu yang baru yang dapat menjana ekonomi petani dengan lebih baik.
Begitu juga, para pegawai di sektor perikanan atau industri perlu sentiasa berusaha untuk mewujudkan sesuatu yang baru demi membangunkan sektor masing-masing dengan reka cipta teknologi terkini.

Hasil reka cipta itu bukan setakat membantu para pekerja dan golongan yang terlibat di dalam sektor berkenaan, malah dapat menjana ekonomi negara yang lebih kukuh.
Namun begitu, tiada maknanya juga jika sektor awam begitu berinovasi tetapi dalam waktu yang sama, para pegawainya memiliki sifat-sifat Napoleon Kecil.

Dengan memiliki sifat sebegitu, maka segala kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai menerusi inovasi akan hancur berkecai bak kaca terhempas ke lantai. Kesannya amat negatif terhadap imej sektor awam itu sendiri. Ini kerana sifat-sifat yang dimiliki oleh Napoleon Kecil akan menyebabkan semua peraturan yang menyokong persekitaran sektor awam termasuk inovasi akan runtuh menyembah bumi.

Sia-sia sahaja segala usaha yang dilakukan. Justeru, setiap kakitangan kerajaan perlu meningkatkan kefahaman terhadap inovasi bagi mewujudkan kerangka kerja, peraturan dan dasar yang dapat menyokong inovasi dan tidak membantut perkembangannya. Lakukan sekarang!

No comments: