Thursday, July 22, 2010

Pendidikan Alternatif Di Britian.

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG

DALAM beberapa aspek, sistem pendidikan di Britain menjadi rujukan banyak negara, termasuk Malaysia. Britain yang dianggotai empat wilayah utama iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara mempunyai kelainan dalam polisi serta sistem pendidikan.

Umpamanya, polisi dan amalan pendidikan di rumah (home education) berbeza di wilayah tersebut. Pendidikan di rumah merujuk kepada kanak-kanak yang tidak mengikuti sekolah biasa. Menurut undang-undang di England, pendidikan adalah wajib tetapi bukannya persekolahan. Undang-undang itu memisahkan konsep pendidikan dan persekolahan. Justeru, 'persekolahan di rumah' mula mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa. Ia kini menjadi pendidikan alternatif di Britain.

Dianggarkan sekitar 20,000 kanak-kanak di Wales dan England mengikuti pendidikan cara ini dan dijangka melonjak sehingga angka 40,000 pada masa depan. Di dua wilayah itu, ibu bapa tidak perlu mendapatkan kelulusan untuk mengamalkan pendidikan cara tersebut.

Di Scotland, amalannya agak berbeza kerana hanya pelajar yang telah mengikuti sekolah awam saja boleh mengikuti sekolah di rumah. Ibu bapa di Scotland yang memilih kaedah itu perlu memohon untuk mengeluarkan anak mereka dari sekolah awam terlebih dahulu.

Di England, pihak berkuasa tempatan juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengawal serta memantau pendidikan di rumah. Keadaan yang hampir sama berlaku di Scotland, tetapi undang-undang di Scotland membenarkan pihak berkuasa pendidikan tempatan untuk mengeluarkan notis kepada ibu bapa jika timbul kekeliruan dalam soal berkaitan dengan kebajikan kanak-kanak.

Pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan hanya dilakukan secara sederhana. Malah, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai hak automatik untuk mengadakan mesyuarat dengan ibu bapa yang memilih konsep itu untuk pendidikan anak-anak mereka.

Ini kerana ibu bapa diberikan kebebasan untuk mendidik anak-anak tanpa terikat kepada mana-mana kurikulum. Ibu bapa juga tidak perlu mempunyai sijil dan tauliah untuk mendidik anak-anak mereka. Pengisian pendidikan di rumah adalah berbeza, namun wujud kecenderungan ibu bapa untuk memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Justeru, terdapat juga sekolah di rumah yang diusahakan oleh tutor-tutor tertentu dengan sokongan komuniti setempat.

Di Amerika Syarikat, konsep ini turut diamalkan tetapi ia berbeza mengikut negeri. Namun, konsep ini ditolak di Jerman kerana bertentangan dengan undang-undang negara tersebut.
Biarpun para pelajar yang ingin mengambil peperiksaan kebangsaan boleh mendaftarkan diri sebagai pelajar persendirian, namun ia memberi masalah kepada pelajar. Ini kerana kebanyakan sekolah kerajaan tidak sanggup menerima pelajar persendirian.

Bagi pelajar yang tidak menduduki peperiksaan kebangsaan, cabaran lain yang ditempuhi adalah kesukaran untuk melanjutkan pengajian. Mereka akan ditemu duga dan ada juga terpaksa menduduki ujian celik huruf (literacy) dan celik angka (numeracy).

Keterbukaan konsep pendidikan di Britain memberitahu kita bahawa pendidikan adalah usaha holistik yang mempunyai pelbagai dimensi. Di samping ilmu dan kemahiran, adalah penting ditekankan usaha-usaha melahirkan insan berakhlak mulia.

PELAJAR ijazah doktor falsafah

Universiti Dundee, United Kingdom

No comments: