Friday, July 9, 2010

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Agih secara adil – Tun M

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pembahagian kekayaan negara tidak boleh dibuat secara sama rata untuk semua tetapi perlu dilakukan secara adil mengikut tahap sosioekonomi sesuatu kaum.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika kekayaan negara dibahagikan secara sama rata tanpa mengikut latar belakang sosioekonomi, mereka yang ketinggalan tidak mungkin dapat mengejar golongan yang berada di hadapan.

Menurutnya, tujuan utama pembahagian secara adil adalah supaya pendapatan rakyat daripada setiap kaum disamakan dan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin tidak begitu ketara.
“Permintaan supaya tumpuan lebih diberikan kepada golongan bumiputera bukanlah satu perjuangan bersifat rasis tetapi bagi mencapai pembahagian kekayaan negara secara adil.
“Malangnya, kumpulan bumiputera paling ramai ketinggalan berbanding kaum lain, sebab itu tumpuan lebih perlu diberikan kepada mereka,” katanya pada Forum Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Kita, Siri Ketiga: Kepentingan Bumiputera Dalam RMK-10 yang disiarkan oleh RTM di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali serta kira-kira 500 penonton pelbagai kaum.
Pada penghujung forum tersebut, Dr. Mahathir turut dikejutkan dengan acara memotong pulut kuning sempena hari lahirnya ke-85.

Dr. Mahathir menegaskan, tidak elok jika permintaan bumiputera untuk mendapatkan cuma 30 peratus kekayaan negara dipersoalkan oleh mana-mana pihak memandangkan kaum tersebut mewakili kira-kira 60 peratus populasi rakyat Malaysia.

No comments: